Salam sejahtera pembaca-pembaca semua. Kali ini saya akan kongsikan tentang makanan tradisional kaum Melanau di Sarawak pula.
Makanan tradisi yang paling popular di kalangan masyarakat Melanau adalah Umai. Umai merupakan sejenis makanan laut tradisional yang dikatakan hampir sama dengan makanan masyarakat Jepun iaitu Sashimi(sushi). Tetapi Umai tetap menjadi pilihan utama masyarakat Melanau di Sarawak. Bahagian Mukah di Sarawak sangat terkenal dengan Umai. Umai merupakan ikan yang dihiris halus-halus dan dibuang tulangnya. Ikan yang telah siap dihiris akan digaul bersama-sama limau nipis, bawang merah, bawang putih, bawang besar dan juga cili. Untuk rasa yang lebih masam, bolehlah menggunakan buah maram(ba’un-buah dari pohon mulung). Tetapi jangan lupa tambah perasa seperti MSG dan garam secukup rasa. Selain ikan, udang atau bubuk(sejenis udang kecil) juga boleh digunakan untuk menyediakan umai.
Hidangan tradisi Kaum Melanau seterusnya ialah Keliseh. Keliseh merupakan gaulan sagu dengan kuah kari ikan. Ikan yang digunakan adalah ikan segar. Keliseh sesuai dimakan ketika hari panas ditambah pula dengan kari pedas. Selain itu, makanan tradisional yang popular adalah Tebaloi yang merupakan makanan ringan yang diperbuat daripada sagu. Tebaloi sangat enak dimakan ketika sarapan pagi atau minum petang dan dicecah dengan air. Kaum Melanau juga ada makanan tradisi yang spesel iaitu ulat mulung dan 'Inut' atau 'Linut'. Makanan ini sangat popular sejak dulu lagi. Ulung mulung diperoleh daripada pokok mulung yang telah telah ditebang dan dibiarkan selama beberapa minggu supaya ulat mulung boleh membiak. Pokok mulung juga dikenali sebagai pokok rumbia atau pokok sagu. Ulat mulung boleh dimasak pelbagai cara dan boleh juga dimakan mentah. 'Linut' pula merupakan makanan yang berupa agar-agar di mana ramuan utamanya ialah tepung dan air panas sahaja. Tepung yang digunakan dipanggil sebagai 'Tepung Cei' dalam bahasa melanau. 'Linut' dimakan dengan mencecahnya dengan kuah pedas ataupun sambal belacan. Jangan lupa untuk mencuba makanan tradisional suku Kaum Melanau. Ini merupakan sedikit sebanyak perkongsian daripada saya mengenai makanan tradisional di Sarawak.
Sekian, terima kasih.
Comments
Post a Comment