Hai pembaca-pembaca sekalian. Apa khabar semua? Semoga sihat-sihat semuanya. Disebabkan saya tidak mendapat idea lagi mengenai Borneo Cultural, sebenarnya banyak lagi adat dan budaya yang ingin dikongsikan, namun, saya bimbang jika perkongsian saya bercanggah dengan budaya atau adat kaum-kaum tertentu. Bagi mengelakkan berlakunya perkara tersebut, saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam pelajaran saya.
Saya merupakan bekas pelajar di salah sebuah Kolej Matrikulasi iaitu Kolej Matrikulasi Labuan. Di sini saya ingin bercerita sedikit tentang pengalaman sepanjang menjadi pelajar matrikulasi. Saya yakin ramai yang sudah mengetahui tentang kehidupan pelajar matrik. Pertama kali masuk matrikulasi, memang berdebar-debar semasa hari pendaftaran. Kolej Matrikulasi Labuan majoriti pelajarnya adalah dari Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sebelum hari mendaftar, saya telah berjumpa kawan baru di pusat membeli-belah. Di mana dia juga seorang bakal pelajar matrikulasi. Hebat kan! Hal ini menyebabkan saya semakin bersemangat untuk belajar di matrik, belum sampai matrik tapi dah ada kawan.
Semasa pendaftaran, orang pertama yang saya jumpa adalah rakan sebilik saya sendiri yang berasal dari Sepitang Sabah. Dalam satu bilik terdapat empat orang ahli di mana kami telah dibahagi mengikut ciri-ciri yang telah ditetapkan iaitu, 2 orang Sabah, 2 orang Sarawak, 2 orang Muslim, 2 orang Kristian, 2 orang aliran Sains, 2 orang aliran perakaunan. Ciri-ciri ini mesti ada dalam setiap bilik. Banyak pengalaman yang saya perolehi.
Yang pertama ialah bagaimana nak sesuaikan diri apabila kita berlainan bangsa? Saya berbangsa Melanau, seorang lagi Lundayeh dan 2 orang dari Sabah berbangsa Melayu. Jujur saya katakan, pertama kalinya mendengar mereka berbicara, saya berusaha untuk memahami sehingga saya mengambil masa selama sebulan untuk menyesuaikan diri dengan bahasa yang berbeza. Namun ini bukan usaha saya seorang sahaja, mereka juga berusaha mengajar saya bahasa mereka(sebenarnya ini sangat seronok dipelajari sehingga saya pun dah boleh cakap Sabah). Kawan Sabah pula boleh bercakap dalam bahasa Sarawak.
Yang kedua ialah bagaimana nak sesuaikan diri apabila berbeza agama di mana dalam satu bilik kami ditempatkan 2 orang Muslim dan 2 orang Kristian? Sebenarnya ia tidaklah menjadi masalah kepada kami sebilik kerana masing-masing adalah “open-minded” di mana kami saling menerima antara satu sama lain. Inilah yang unik di sana. Saya merupakan seorang Kristian tetapi saya menjaga segala pemakanan yang halal dan haram di hadapan mereka, dan tidak berbuat bising apabila mereka mengaji dan solat. Semasa mereka bersolat, saya memberi ruang kepada mereka di mana tempat solat(kiblat) terletak bersebelahan katil saya dan depan almari saya, jadi saya tidak akan mengganggu mereka. Apabila hari ahad pula, di mana umat Kristian akan bersembahyang di gereja, kawan saya yang Muslim selalu membangunkan saya kerana dia memang bangun awal untuk solat. Kami saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Sejujurnya sebagai pelajar matrikulasi, aktiviti harian kami sangat padat dengan kuliah, tutorial, kelas tambahan, latihan, kerja kursus dan riadah pada waktu petang. Apabila stres, kawan-kawan sebiliklah yang banyak memberi nasihat. Merekalah guru, mereka jugalah pelajar kerana pada masa yang sama kami mengajar dan belajar sesama kami.

Kesimpulannya, perpaduan membawa muafakat, muafakat membawa berkat, di mana kami berjaya mendapat keputusan yang cemerlang pada akhir semester. Saya sangat merindui kalian semua. Sekian, terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog